MPP TERIMA ANUGERAH BANDAR MAMPAN & SIJIL PENARAFAN BANDAR PINTAR 2025
Johor Bahru, 11 Disember 2025 - Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) sekali lagi melakar kejayaan apabila menerima Anugerah Bandar Mampan serta Sijil Penyertaan Penarafan Bandar Pintar PBT Malaysia sempena Majlis Apresiasi Pembangunan Bandar Mampan dan Bandar Pintar Peringkat Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Hotel Amari, Johor Bahru.
Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Jafni Bin Syukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor kepada Encik Norazmi Bin Amir Hamzah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang.
Turut mengiringi ialah Encik Norshamsul Bin Mohamed, Ketua Whip Majlis Perbandaran Pengerang, serta Encik Muhammad Suffian Bin Abd Razak, Ketua Jabatan Perancangan Bandar dan Landskap.
Pengiktirafan ini memberi penghormatan kepada usaha MPP dalam kemampanan dan bandar pintar tetapi pada akhirnya, anugerah bukan ukuran sebenar kejayaan. Ukuran sebenar ialah apabila penduduk di sini dapat melihat, merasai dan menikmati perubahan jalan yang lebih selamat, perkhidmatan yang lebih cepat, ruang awam yang lebih hidup dan teknologi pintar yang memudahkan urusan harian.
Kami menerima anugerah ini bukan sebagai penamat tetapi sebagai komitmen untuk bekerja lebih keras. Setiap projek, setiap pembaharuan dan setiap ringgit yang dibelanjakan mesti kembali kepada kesejahteraan komuniti. Kerana bandar pintar dan bandar mampan hanya bermakna apabila manfaatnya jatuh tepat ke tangan penduduk di sini.
